Monday 12 December 2011

PENGGUNAAN PENYARING DALAM FOTOGRAFI

Satu lagi alat yang tidak kurang kepentingannya adalah penyaring. Penyaring merupakan kanta yang dipasang pada kamera untuk mengambil gambar foto berwarna atau hitam putih. Penyaring diperbuat sama ada khusus untuk warna atau hitam putih. Namun, sesetengah penyaring boleh digunakan untuk kedua-dua jenis gambar foto yang disebutkan tadi.
Penggunaan penyaring untuk gambar foto hitam putih boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Penggunaannya bergantung kepada fungsi-fungsi tertentu seperti contoh:
(a) Penyaring yang menukar tindakbalas filem supaya semua warna akan digambarkan hampir sama dengan nilai kecerahan bandingan seperti mana pada penglihatan mata. Ini dipanggil penyaring pembetulan.

(b) Penyaring yang menukar nilai kecerahan bandingan dua warna yang menunujukkan warna kekelabuan yang hampir sama, supaya boleh dilihat dengan jelas pada gambar foto. Ini dipanggil penyaring kontras.

(c) Penyaring yang mengurangkan kesan kekaburan, kecerahan dan pembalikan. Jenis ini boleh digunakan untuk kedua-dua gambar foto warna dan hitam putih. Contohnya ialah penyaring polarizing, penyaring neutral density, penyaring ultra lembayung, penyaring skylight dan penyaring untuk mendapatkan kesan tertentu.

 
Penggunaan penyaring dalam mengambil gambar foto warna juga boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama:

(a) Penyaring yang menukarkan filem yang dibuat khusus untuk mengambil gambar foto didalam punca cahaya yang tertentu kepada punca cahaya yang lain. Penyaring ini dipanggil penyaring conversion.

(b) Penyaring yang mengubah warna objek didalam gambar foto untuk mendapatkan warna sebenar. Penyaring jenis ini juga digunakan untuk menimbulkan kesan luar biasa atau untuk mengambil gambar foto dalam keadaan cahaya yang luar biasa , misalnya cahaya lampu kalimantang. Ini juga dipanggil penyaring pengimbang warna.

(c) Penyaring yang sama fungsinya seperti penyaring yang digunakan untuk mengambil gambar foto hitam putih bagi mengurangkan kesan kekaburan, kecerahan dan pembalikan.
Berdasarkan keterangan diatas, kita dapati bahawa penyaring memainkan peranan penting dalam proses mengambil gambar foto. Penyaring juga membolehkan jurugambar mengawal keadaan ketika gambar hendak diambil supaya dia dapat menghasilkan kesan, suasana , warna, atau ton (tone) pada sesebuah gambar itu kelak.

No comments:

Post a Comment